Ketua yang Dihormati Anak Buah adalah Ketua yang Menjamin Keselamatan Sosial Mereka


Keselamatan sosial adalah perasaan di mana seseorang itu berasa yakin dirinya tidak akan mendapat malu di hadapan orang lain.

Apabila seseorang itu berasa ada kemungkinan dia akan dimalukan di hadapan orang, maka dia dikatakan berdepan dengan 'risiko sosial'. Risiko sosial adalah salah satu faktor mengapa ada kalanya kita tidak mahu mendedahkan maklumat tentang diri kita yang boleh menyebabkan kita mendapat malu.

Nabi Muhammad adalah seorang ketua yang disukai oleh anak-anak buahnya. Tidak ada orang takut hendak datang berjumpa Nabi Muhammad dan mengemukakan masalah mereka.

Apabila Nabi Muhammad bercakap dengan orang-orang yang pernah melakukan kesalahan, beliau tidak mengucapkan kata-kata yang boleh menjatuhkan air muka pesalah itu.

Apabila ada orang datang berjumpa Nabi Muhammad dan mengaku dia telah melakukan kesalahan dan sudah insaf, beliau sama sekali tidak menyiasat latar belakang kesalahannya itu. Ini dilakukan oleh Nabi Muhammad sama ada pada waktu itu ada orang lain di situ ataupun hanya mereka berdua yang ada.

Contoh ayat-ayat siasatan:

"Kenapa kamu lakukan kesalahan itu?" (SALAH)
"Adakah kamu tidak tahu perbuatan itu terkutuk?" (SALAH)
"Bukankah kamu sudah tahu apa hukumnya?" (SALAH)
"Siapa lagi yang ada bersama kamu?" (SALAH)
"Apa sebenarnya tujuan kamu melakukan dosa itu?" (SALAH)

----

Nota: Tuan dapat menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan memasukkan alamat emel tuan dalam kotak jendela di tebing kanan blog ini.
 

No comments:

Post a Comment