Bengkel Interpersonal Gaya Nabi Muhammad di FINE Academy, Wangsa Melawati.
Nabi Muhammad Mempamerkan Emosi Kagum Apabila Memuji Hasil Kerja Anak Buahnya
Salah satu kemahiran interpersonal yang relevan digunakan oleh ketua-ketua bagi mendorong anak-anak buahnya adalah memuji hasil kerja mereka. Namun banyak ketua tidak menggunakan puji-pujian sebagai alat mendorong disebabkan mereka tidak yakin pujia-pujian dapat mengubah tingkah laku negatif menjadi positif.
Bukan semua kata-kata pujian dapat mengikatkan semangat bekerja. Malah ada jenis pujian yang boleh mencipta kesan sebaliknya ke atas semangat kerja anak-anak buah.
Memuji hasil kerja adalah salah satu teknik motivasi yang digunakan oleh Nabi Muhammad.
Contoh ayat-ayat yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila memuji hasil kerja anak buahnya:
"Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu."
"Bakh! Bakh! Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung."
Kata seruan Bakh! Bakh! adalah bentuk dalam bahasa Arab klasik. Dalam bahasa Melayu ia sama sengan Bagusnya! Bagusnya!
----
Nota: Tuan dapat menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan memasukkan alamat emel tuan dalam kotak jendela di tebing kanan blog ini.
Ketua yang Dihormati Anak Buah adalah Ketua yang Menjamin Keselamatan Sosial Mereka
Keselamatan sosial adalah perasaan di mana seseorang itu berasa yakin dirinya tidak akan mendapat malu di hadapan orang lain.
Apabila seseorang itu berasa ada kemungkinan dia akan dimalukan di hadapan orang, maka dia dikatakan berdepan dengan 'risiko sosial'. Risiko sosial adalah salah satu faktor mengapa ada kalanya kita tidak mahu mendedahkan maklumat tentang diri kita yang boleh menyebabkan kita mendapat malu.
Nabi Muhammad adalah seorang ketua yang disukai oleh anak-anak buahnya. Tidak ada orang takut hendak datang berjumpa Nabi Muhammad dan mengemukakan masalah mereka.
Apabila Nabi Muhammad bercakap dengan orang-orang yang pernah melakukan kesalahan, beliau tidak mengucapkan kata-kata yang boleh menjatuhkan air muka pesalah itu.
Apabila ada orang datang berjumpa Nabi Muhammad dan mengaku dia telah melakukan kesalahan dan sudah insaf, beliau sama sekali tidak menyiasat latar belakang kesalahannya itu. Ini dilakukan oleh Nabi Muhammad sama ada pada waktu itu ada orang lain di situ ataupun hanya mereka berdua yang ada.
Contoh ayat-ayat siasatan:
"Kenapa kamu lakukan kesalahan itu?" (SALAH)
"Adakah kamu tidak tahu perbuatan itu terkutuk?" (SALAH)
"Bukankah kamu sudah tahu apa hukumnya?" (SALAH)
"Siapa lagi yang ada bersama kamu?" (SALAH)
"Apa sebenarnya tujuan kamu melakukan dosa itu?" (SALAH)
----
Nota: Tuan dapat menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan memasukkan alamat emel tuan dalam kotak jendela di tebing kanan blog ini.
Bahasa dan Ucapan Ketua Yang Boleh Mematahkan Semangat Anak Buah
Salah satu kemahiran yang perlu dimiliki oleh seseorang yang mahu naik pangkat ke jawatan ketua unit, ketua bahagian, ketua jabatan, timbalan pengurus, pengurus, timbalan pengarah, pengarah dan ketua pengarah adalah kemahiran menyampaikan ucapan yang menaikkan semangat kerja orang-orang bawahannya.
Salah satu faktor yang menyebabkan audiens suka mendengar ucapan adalah apabila ucapan itu menggunakan perkataan-perkataan yang dipilih dengan teliti supaya apabila diucapkan ia mendorong naiknya semangat kerja mereka yang mendengar.
Ada perkara-perkara yang ketua tidak boleh sebut dalam ucapan. Sebagai contoh:
1. Nasihat
Nasihat tidak boleh disebut dalam ucapan. Nasihat hendaklah diberikan kepada orang yang memerlukan nasihat itu sahaja.
Sebagai contoh, nasihat supaya staf datang kerja awal tidak boleh disebut dalam ucapan di hadapan audiens. Dalam audiens itu banyak yang datang kerja awal. Mereka yang sentiasa datang kerja awal akan tersinggung dan sakit hati mendengar ketua menyampaikan ucapan seperti itu!
2. Teguran
Teguran tidak boleh disebut dalam ucapan. Teguran hendaklah diberitahu kepada yang empunya diri yang melakukan kesalahan yang ditegur itu sahaja.
Sebagai contoh, teguran kepada staf lelaki yang suka mengusik-usik staf perempuan. Teguran itu tidak boleh disampaikan dalam ucapan kerana staf lelaki yang tidak melakukan kesalahan seperti itu akan berasa diri mereka juga dituduh oleh si ketua.
----
Nota: Tuan dapat menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan memasukkan alamat emel tuan dalam kotak jendela di tebing kanan blog ini.
Nabi Muhammad Tidak Pernah Berdebat dengan Sesiapa
Tidak terdapat catatan dalam rekod-rekod sejarah yang menunjukkan Nabi Muhammad pernah menggunakan kaedah berdebat bagi menerangkan sesuatu truth ataupun sesuatu yang benar.
Dalam kaedah debat, mesti ada 2 pihak, di mana masing-masing pihak percaya bahawa pendapatnya betul manakala pendapat pihak yang satu lagi adalah salah.
Sebagai contoh:
Ada orang yang yakin Bible yang ada sekarang bukan kata-kata Tuhan. Jadi, dia pun mengemukakan hujah-hujah bagi membuktikan Bible bukan kata-kata Tuhan.
Di satu pihak lain, ada orang yang yakin bahawa Bible adalah kata-kata Tuhan. Jadi dia pun mengemukakan hujah-hujah bagi membuktikan Bible adalah kata-kata Tuhan.
Begitulah yang dikatakan kaedah debat. Kaedah debat sangat popular. Di mana-mana kita dapat mendengar orang berhujah menggunakan kaedah debat.
Intipati kaedah debat adalah: Kita membuktikan pendapat kita BETUL dengan membuktikan pendapat orang lain SALAH.
Logik dalam kaedah debat adalah: "Kamu salah, jadi saya betul." "You are wrong, therefore I am ringht."
Tidak ada catatan sejarah yang menunjukkan Nabi Muhammad pernah berhujah dan berdebat dengan sesiapa bagi membuktikan pendapat orang itu salah, manakala pendapat beliau betul.
Nabi Muhammad Bercakap Menggunakan Bahasa Arab Tinggi
Gaya bahasa Nabi Muhammad adalah gaya bahasa yang persuasif, yakni berpengaruh. Orang suka mendengar setiap perkataan yang keluar dari bibir beliau.
Bahasa adalah satu satu faktor yang menyebabkan orang suka mendengar Nabi Muhammad berkata-kata. Kata-kata beliau mudah didengar, dan mudah diingat.
Dengan meniru ciri-ciri pada gaya bahasa Nabi Muhammad, kita dapat meningkatkan daya pengaruh kita apabila bercakap. Dengan itu orang suka mendengar kita bercakap, mereka mudah bersetuju dengan idea dan pendapat kita, dan mereka melakasanakan perkara yang kita sarankan.
Berdasarkan rekod sejarah yang mencatatkan secara verbatim, yakni catatan kata demi kata, percakapan Nabi Muhammad menunjukkan beliau bercakap menggunakan bahasa Arab tinggi, yakni bukan bahasa Arab basahan.
Dari teks, atau matan hadith-hadith yang dikaji, tidak terdapat data yang menunjukkan Nabi Muhammad bercakap menggunakan elemen bahasa basahan.
Contoh elemen bahasa basahan:
1. Perkataan kontot. Contoh:
dah = sudah
tu = itu
ni = ini
tak = tidak.
2. Ayat yang tidak lengkap subjek-predikatnya. Contoh:
"Belum." (tiada subjek, tiada predikat)
"Ambil di sana." (tiada subjek)
"Keldai itu." (tiada predikat)
3. Perkataan bahasa basahan. Contoh:
nak = mahu
jom = marilah
biar = supaya
agaknya = barangkali
ingat = sangka
ingatkan = saya sangka
4. Frasiologi bahasa basahan. Contoh:
lepas tu = kemudian
macam mana = bagaimana
siapa sangka = tidak disangka
tau-tau = tiba-tiba
apa nak jadi kalau = apa akan berlaku sekiranya
pandai-pandai sahaja = memandai-mandai
Nota: Nabi Muhammad bercakap menggunakan bahasa tinggi dengan sesiapa sahaja, di mana-mana sahaja, dan pada bila-bila masa sahaja -- meskipun semasa beliau bercakap kepada kanak-kanak ataupun kepada hambanya, isterinya, anaknya dan anak menantunya.
----
Nota: Tuan dapat menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan memasukkan alamat emel tuan dalam kotak jendela di tebing kanan blog ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)
